Monday, 3 September 2012

Aku cuma seorang manusia biasa. Perwatakan, pemakaian aku, belum cukup sempurna sebagai seorang muslim sejati. Tapi Allah itu Maha Penyayang, tidak dibiarkan seorang yang seperti aku untuk terus hanyut dan lalai melupakanNya.
Aku bukanlah tidak solat, cuma terkadang lalai. Aku bukan tidak puasa, cuma mulut masih rancak mengumpat. Aku beragama Islam tapi aku sedar, Islam ku belum cukup sempurna seadanya.
Aku habiskan masa depan komputer riba usangku. Mencari doa terbaik untuk menenangkan jiwa.
Suatu hari, aku terjumpa Al-Insyirah. Bait-bait dalam Al-Insyirah cukup menekan kalbuku. Aku terpesona. Aku teliti dan hayati maksud ayat surah itu. Lalu ku baca satu persatu.
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Peyayang...
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk)?
2. Dan Kami telah meringankan bebanmu daripadamu:(menyiarkan Islam) -
3. Yang memberati tanggunganmu,
4. Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu.
5. Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
6. Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7. Maka apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain),
8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini)."
Setiap kali solat, surah Al-Insyirah akan ku baca. Setiap kali jantung terasa berat, hati terasa sarat. Aku ulangi lagi Al-Insyirah. Setiap hari komputer riba aku tatapi, mencari sesuatu yang bisa untuk ku hilangkan segala resah di hati.
Dan akhirnya aku tersedar, segala bebanan yang aku tanggung, segala ujian ini sebenarnya tanda kasih Allah pada aku. Allah rindukan rintihan aku. Aku tahu, Allah mahu mengajar aku erti sebenar ujian-Nya.
Dari situ, satu persatu aku temui. Semua bermula dari komputer riba usang ku. Tiada pentingnya cinta manusia jika Allah tidak kita letakkan pada nombor satu. Namun, aku cuma insan lemah. Sering juga aku rasa kalah, aku rasa resah. Aku masih cuba membaiki diri, setapak demi setapak. Aku masih lagi aku yang dulu, cuma aku harapkan rohani aku sedang dalam proses pemulihan dan pembersihan.

No comments:

Post a Comment